TELUK INTAN: Mayat seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berumur 10 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas terjatuh di Sungai Bidor bersama kakak dan seorang sepupunya ditemui pada jam 7.20 pagi Rabu.
Gambar Hiasan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Zulkafli Abdullah berkata, dengan penemuan itu, bermakna pihaknya telah menjumpai kesemua tiga mangsa.
Menurut beliau, mayat Sheetel Kulop, 10 telah ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian oleh pasukan penyelamat.
“Berikutan penemuan mangsa ketiga itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas telah ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu. Semalam, upacara keagamaan bagi 30 Orang Asli dari beberapa keluarga di Sungai Bidor, Batu 6, berhampiran ladang sawit Gloster bertukar tragedi apabila dua budak dan seorang remaja perempuan lemas. Dua mayat mangsa, Sherrel Kulop, 11, yang merupakan kakak kepada Sheetel dan sepupunya Norzehan Long Asing, 13, ditemukan lemas oleh anggota keluarga masing-masing tidak jauh dari lokasi kejadian. Difahamkan, ketiga-tiga mangsa tergelincir dari tebing sungai semasa sedang mandi dengan menggunakan gayung.