top of page
muinsapidin

Isu Ancaman Daesh Dibincang Pada WCIT 2016

IPOH: Isu ancaman Daesh dijangka turut menjadi topik penting yang akan dibincangkan pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia Kali Ke-3 (WCIT 2016) yang akan diadakan selama tiga hari di Hotel Casuarina@Meru bermula 18 hingga 20 Oktober depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, isu itu dijangka dibincangkan dalam sub tema `media dan politik antarabangsa’.

Menurut beliau, persidangan kali ini yang disertai perwakilan dari lebih 15 buah negara dan bertemakan `Future World’, akan membincangkan mengenai masa depan dunia dari perspektif Islam.

“Seperti yang kita ketahui, isu-isu yang menyentuh dunia Islam pada hari ini semakin mendapat tempat perbincangan, sama ada dalam konteks yang baik mahupun sebaliknya,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Hadir sama Naib Canselor USAS, Tan Sri Professor Dr Nordin Kardi dan Timbalan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Dr Zambry berkata, antara pembentang yang djangka hadir pada WCIT 2016 ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Ketua Pengarah IKIM Malaysia, Profesor Datuk Dr Azizan Baharuddin; penceramah antarabangsa, Dr Bilal Philips; Penerbit Radio Islam Chicago, Imam Malik Mujahid dan Dekan Fakulti Pengajian Dunia yang juga Pengulas Politik Rangkaian CNN, BBC dan Al Jazeera, Dr Sayed Mohamad Marandi.

Menurut beliau, lain-lain sub-tema yang dibawa pada persidangan itu ialah ‘Future World of Higher Knowledge’, ‘Climate Change and Humanitarian Issues’, ‘Good Governance, Economic and Finance’, dan ‘Young Generation and Leadership’.

Sementara itu Dr Nordin Kardi berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan mencemar duli menyampaikan ucaptama dan merasmikan pembukaan persidangan itu.


35 views0 comments
bottom of page