Naluri kebapaan seorang lelaki Melayu yang mahu menyelamatkan anak gadisnya daripada dicederakan berjaya mematahkan cubaan samun di sebuah rumah dekat Taman Tambun Mas, Ipoh pada Isnin.
Gambar Hiasan
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, walaupun hanya menggunakan sebatang kayu, lelaki berusia 33 tahun itu berjaya mematahkan niat penyamun yang bersenjatakan pisau.
Menurutnya keberanian mangsa untuk melawan telah menyebabkan penyamun itu melarikan diri.
“Satu lelaki tidak dikenali telah menceroboh masuk ke rumah mangsa dengan memegang sebilah pisau, semasa kejadian anak perempuannya berada di hadapan rumah lalu dia (bapa) mempertahankan diri tetapi lelaki itu cuba melawan.
“Bapa itu kemudiannya keluar dari rumah dan capai sebatang kayu lalu lelaki itu terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang Rabu.
Tambah Sum, ekoran daripada kejadian tersebut, pihak polis telah menangkap seorang suspek bersabit kejadian berkenaan pada Selasa.
“Susulan kejadian cubaan samun itu, satu posting kononnya kejadian culit telah diviralkan dalam sosial media Facebook.
“Tetapi berdasarkan siasatan polis, kejadian ini meurpakan satu cubaan menyamun yang disiasat dibawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Justeru itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atapun mengeluarkan kenyataan yang tidak benar berkaitan kes ini.
Menurutnya spekulasi yang tidak benar yang diviralkan di sosial media boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak sepatutnya kalangan ibubapa.