IPOH: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Kelab Kakitangan Yayasan Bina Upaya Perak (KKYBUP) menganjurkan Program Korban & Aqiqah di Rumah Sukarelawan YBU di sini pada Selasa.
Seramai 40 kakitangan dan sukarelawan YBU mengambil bahagian di dalam gotong royong melapah dua ekor lembu, masing-masing seekor untuk korban dan aqiqah, bermula seawal jam 8.30 pagi.
Mereka kemudiannya mengagihkan 110 bungkusan daging korban kepada warga miskin yang mendiami flat Seri Connoly dan Kinta Height di sini.
Selesai majlis itu, mereka mengadakan majlis kenduri aqiqah yang dimulakan dengan tahlil dan doa selamat.
Program diakhiri dengan penyampaian sumbangan raya kepada 25 kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Riduani, Manjoi yang disempurnakan Ketua Pegawai Operasi YBU, Hairul Anwar Mohamed Noor.