TAIPING: Empat sekeluarga maut apabila kereta Proton Iswara yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori tanker rosak di lorong kecemasan di Kilometer 209 Lebuhraya Utara - Selatan (arah utara), berhampiran susur keluar Bandar Baru-Changkat Jering pada petang Selasa.
Dalam kejadian sekitar 3 petang itu, mangsa, pemandu kenderaan, Azida Othman, 43, penumpang, Muhammad Aiman Hakim Suhaimi, 19, Othman Hamid, 68 dan Aishah Arof, 68, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superitendan Wan Jamil Wan Chik berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa melanggar lori tanker rosak dan diletakkan di tepi jalan.
“Kenderaan mangsa telah merempuh sebuah lori tanker minyak yang rosak dan berhenti di tepi jalan dan menyebabkan kesemua mangsa di dalam kenderaan tersepit.
“Pihak perubatan mengesahkan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mereka berumur antara lingkungan 19 dan 68 tahun,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Selasa.
Pemandu lori berkenaan bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Pegawai Bomba Kanan Rohaimi Basirun berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 3.10 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Sesampainya di tempat kejadian kami mendapati kenderaan mangsa telah merempuh bahagian belakang lori tanker yang diletakkan di lorong kecemasan dipercayai kerana rosak.
“Kesemua mangsa tersepit dan menggunakan alat pemotong kecemasan untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Rohaimi berkata, operasi tamat sepenuhnya sekitar 4.42 petang.