PASIR SALAK: Percutian Hari Raya Aidiladha di sebuah rumah inap berhampiran Kampung Bandar Tua, di sini berakhir dengan tragedi buat dua saudara apabila terlibat dalam insiden lemas di Sungai Perak pada petang Ahad.
Dalam kejadian sekitar 6.56 petang Ahad, mangsa, Mohd Amirul Rosman, 18, dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan adik saudaranya, Mohd Isma Daniel Mohd Firdaus, 15, yang lemas dalam arus Sungai Perak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Penolong Penguasa Bomba Zaipul Efandi Ahmad berkata mayat Mohd Amirul kemudian ditemui sekitar 4.30 pagi Isnin oleh orang kampung dalam jarak 100 meter daripada lokasi beliau dipercayai lemas.
“Menurut saksi, mangsa Mohd Amirul cuba menyelamatkan adik saudaranya yang lemas dalam arus deras Sungai Perak sebelum kelibatnya tidak kelihatan dan turut lemas.
“ Arwah kemudiannya ditemui sekitar pukul 4 pagi, dan telah dihantar ke Hospital Hutan Melintang. Keluarganya kini sedang dalam proses melaksanakan pengkebumian manakala misi pencarian Mohd Isma Danial masih lagi diteruskan sehingga kini,”katanya kepada Suara Perak pada Isnin.
Pada petang Ahad, dua orang remaja berumur 15 dan 18 tahun telah dilaporkan lemas di kawasan Sungai Perak ketika sedang bercuti di sebuah rumah inap di Kg Bandar Tua, di sini.
Operasi mencari dan menyelamat Mohd Isma masih diteruskan.