IPOH: Seorang remaja yang sedang leka mencari raksasa maya “Pokemon” di dalam aplikasi telefon bimbitnya di kawasan tebing Sungai Kinta, Riverwalk terkejut apabila sebaliknya terjumpa mayat tergantung di sebatang pokok pada tengahari Selasa.
Remaja itu yang tidak ingin dikenali berkata, dia berada di tempat kejadian kerana mahu memenuhi cuti sekolah selama seminggu dengan mencari “pokemon” di kawasan tumpuan dan hotspot Pokemon Go itu.
Menurutnya, semasa sedang berjalan-jalan di sekitar laluan pejalan kaki bawah di tepi sungai, dia ternampak sekujur tubuh berdiri kaku di situ, dengan kakinya tidak jejak ke tanah.
“Sebaik sahaja saya terlihat tubuh itu, saya nampak sekumpulan orang sedang datang dan mereka mengatakan bahawa perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak polis,” katanya kepada Suara Perak.
Pegawai Tourism Malaysia Perak, Iskandar Aminuddin, 39, pula berkata, beliau terdengar kekecohan di kawasan sekitar Riverwalk itu sebelum seorang pemancing dan menceritakan berkenaan insiden terbabit.
“Pemancing itu memberitahu, dia sedang memancing di seberang sungai, bersama anak kecilnya sebelum melihat tubuh yang tidak bergerak dan pergi memeriksanya kerana berasa curiga.
“Setelah pergi ke bawah pokok tersebut, pemancing itu kemudian menyedari seutas tali yang melilit di leher seorang remaja lelaki berusia dalam awal 20-an, barulah dia datang kepada saya dan saya terus menghubungi pihak pengurusan Kinta Riverwalk yang kemudiannya memaklumkan kepada polis,” katanya.
Iskandar memberitahu, salah seorang pengunjung di kawasan berkenaan juga memberitahunya bahawa beliau ada melalui jalan tersebut dan ternampak kelibat remaja berkenaan sedang duduk termenung di atas kerusi yang dipercayai digunakan untuk membunuh diri sekitar pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu sekitar 1.45 tengahari .
Mangsa, Tan Yee Shuen, 20 yang berasal dari Ipoh, disahkan meninggal dunia dan dijumpai tergantung dengan tali nylon bersama satu kerusi dan sepasang selipar manakala dompet dan jam tangan turut berada pada mangsa.