top of page
muinsapidin

Sultan Perak Solat Sunat Aidiladha Bersama 1,500 Rakyat

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyertai lebih 1,500 jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah di Jalan Raja Musa Mahadi, di sini pada pagi Isnin.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Ketibaan baginda sekitar 8.35 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, barisan exco negeri Perak dan ketua-ketua jabatan.

Antara lain yang turut dalam solat sunat tersebut adalah seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Solat sunat Aidiladha yang berjalan sekitar 1 jam setengah itu diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd. Muzaffar Syed Azlan.

Solat sunat yang diadakan serentak bersama Hari Raya Aidiladha di seluruh Malaysia itu dimulakan dengan takbir dan diakhiri khutbah.

Baginda kemudiannya berkenan meluangkan masa untuk beramah mesra dan meluangkan masa bersamalam dengan para jemaah sebelum berangkat ke Istana Cempaka Sari bagi menghadiri majlis jamuan Aidiladha.


34 views0 comments
bottom of page