TELUK INTAN: Seorang remaja maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas dan merempuh sebatang pokok berhampiran dengan pasaraya Giant di sini, pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian sekitar pukul 1.30 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun yang sedang memandu kenderaan jenis Perodua Kancil itu maut di tempat kejadian.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Penguasa Bomba Mohd Azhar Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 01.57 dan bergegas ke tempat kejadian.
“ Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati kenderaan mangsa telah terbabas dari laluan dan melanggar sebatang pokok lalu menyebabkan mangsa tersepit.
“Pasukan perubatan cuba memberikan rawatan kepada mangsa namun kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Suara Perak.
Menurutnya, pihak bomba telah bertindak memotong bahagian atap serta membuat regangan pintu pada bahagian pintu untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa kemudiannya diusung keluar daripada kereta dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.35 pagi,” ujarnya.