top of page
muinsapidin

Jangan Usik Sentimen Kaum – Dr Zambry

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyeru ahli politik untuk tidak mempergunakan sentimen kaum bagi meraih sokongan sehingga mewujudkan perpecahan di kalangan rakyat.

Kata beliau, ahli politik yang menggunakan taktik kotor itu seharusnya sedar bahawa keamanan negara dan keharmonian di antara kaum lebih penting daripada kemenangan dalam bidang politik semata-mata.

Menurut beliau, kadang-kadang terdapat ahli politik yang bertindak melebihi had hanya semata-mata untuk meraih sokongan, tetapi tiada gunanya jika sokongan itu berasaskan dengan kebencian.

“Jangan kita tanam sifat benci di kalangan rakyat, amat mustahak untuk kita menjaga keamanan dan menyebarkan kasih sayang di antara kita, jangan ambil kesempatan terhadap keamanan yang kita kecapi ketika ini,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Pesta Kebudayaan Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 peringkat negeri di Ipoh Parade pada Sabtu.

Menteri Besar menambah ahli politik serta pemimpin seharusnya bertanggungjawab memastikan rakyat dan generasi akan datang dapat hidup dalam suasana hormat menghormati dan aman damai.

Berkenaan majlis tersebut, Dr Zambry memberitahu ianya merupakan program tiga dalam satu yang menggabungkan pesta tanglung, bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Ketiga-tiga elemen ini digabungkan untuk mengetengahkan kepada rakyat berbilang kaum kita untuk bersatu dan menghargai satu sama lain,” jelasnya.

Terdapat pelbagai pameran sepanjang majlis tersebut berlangsung seperti pameran 150 buah tanglung, pameran catur, pameran lukisan, pameran kaligrafi dan pameran alat muzik okestra pelbagai bangsa.


28 views0 comments
bottom of page