KEJAYAAN atlet negara, Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) merupakan antara lakaran sejarah manis negara buat tahun ini.
Lebih manis, pemenang pingat gangsa pada edisi ke-14 di London, telah mencipta rekod baharu dunia dalam percubaan pertamanya dengan jarak 16.40m, sekali gus memadam rekod dunia dan rekod Paralimpik milik Todd Hodgetts dari Australia iaitu 16.29m juga di London.
Atlet berusia 26 tahun itu meneruskan rentak kecemerlangan dan terus memperbaiki rekod dunia dengan jarak 16.84m pada percubaan kelimanya.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong saya. Tak lupa juga kepada famili saya, rakan-rakan saya, ISN, MSN dan media yang menyokong saya.
“Inilah hadiah saya untuk kalian semua… gambar yang viral yang saya pegang kertas ‘Doakan untuk kami di Paralimpik’ inilah hasilnya. Terima kasih banyak-banyak untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu rakaman video.
Pingat perak menjadi milik Dimitrios Senikidis dari Greece dengan 16.17m dan gangsa milik Hodgetts dengan 15.82m. – Bernama