IPOH: Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk mengeluarkan sebarang larangan bagi rakyat Malaysia keluar dan masuk ke Singapura dan Filipina yang telah dikenalpasti terdapat jangkitan virus Zika.
Menterinya,Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata larangan itu merupakan satu tindakan drastik kerana ianya boleh menimbulkan isu-isu sosial berikutan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. "Susah untuk diamalkan (larangan) kerana lebih 200,000 rakyat Malaysia yang ulang alik dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari kerana mereka bekerja di situ dan itu adalah periuk nasi mereka," katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan bengkel pelajar mengenai keusahawanan, kepimpinan dan patriotik di sini pada petang Sabtu. Beliau memberi ulasan demikian kepada pemberita apabila ditanya mengenai mengenai Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang mengeluarkan arahan agar sekolah-sekolah di negeri itu tidak mengadakan lawatan ke negara-negara berkenaan. Dr Subramaniam bagaimanapun menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin melawat dua negara itu agar sentiasa berwaspada terutamanya jika mengalami sebarang simptom seperti demam. Katanya, masyarakat perlu bersikap proaktif berkaitan pencegahan virus Zika dengan memastikan persekitaran tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang menyebarkan virus itu dan bukan bertindak setelah perkara buruk berlaku. "Pengetahuan rakyat di dalam perkara ini (zika) memang tinggi dan penterjemahan pengetahuan rakyat dalam budaya kehidupan adalah satu isu yang belum mencapai satu kaedah yang boleh dikatakan memuaskan," katanya. "Harapan saya, dengan pemahaman rakyat tentang kesedaran penyakit ini, mereka perlu melakukan aktiviti membasmi tempat-tempat pembiakan untuk mengurangkan penularan virus ini," katanya. Sehingga hari ini, sebanyak tiga kes jangkitan virus Zika direkodkan di negara ini iaitu membabitkan seorang wanita mengandung di Johor Bahru yang merupakan kes ketiga selepas kes pertama melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang, Selangor dan kes kedua merupakan kes jangkitan tempatan di Sabah.