top of page
muinsapidin

Dua Maut, Seorang Parah Kemalangan di Lebuhraya Ipoh-Lumut

IPOH: Dua maut manakala seorang cedera parah dalam sebuah kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Puncak Jelapang Maju, Lebuhraya Ipoh-Lumut pada malam Jumaat.

Dalam kejadian sekitar 8 malam itu, dua lelaki meninggal dunia di tempat kejadian, dan dua orang mengalami kecederaan manakala dua lagi terselamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fauzi Abdul Aziz berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 8.08 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

"Sesampainya di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di mana sebuah kenderaan jenis Toyota Corolla dari arah Ipoh ke Lumut telah berlanggar dengan sebuah Perodua Viba dari arah bertentangan.

"Sejurus selepas itu, sebuah Toyota Vios pul melanggar bahagian belakang Viva sebelum sebuah lori satu tan terbabas ke bahu jalan kerana mengelak kemalangan tersebut,"katanya kepada ASTRO AWANI.

Mohd Fauzi berkata akibat insiden tersebut dua orang mangsa telah tersepit di dalam Toyota Corolla dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan manakala seorang penumpang di bahagian belakang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pemandu Viva mengalami kecederaan prah manakala pemandu Vios dan lori terselamat dari sebarang kecederaan,"katanya lagi.

Tambahnya, anggota telah bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan mangsa cedera kepada pasukan perubatan.

"Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala bomba telah melakukan kerja pembersihan jalan untuk sisa kenderaan yang berterabur di atas jalan raya,"ujarnya lagi.

Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada 9.03 malam.


280 views0 comments
bottom of page