IPOH: Green Venture Capital (GVC), anak syarikat Kumpulan Wawasan Qi Properties (WQIP) memulakan projek pembangunan Qi City yang bernilai RM1.2 bilion di Bandar Meru Raya dekat sini.
Majlis pecah tanah projek di atas kawasan kira-kira 11 hektar (26 ekar) itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Jumaat.
Projek Qi City merupakan pembangunan bersepadu yang mengandungi universiti, hospital universiti, pusat konvensyen, kondominium, hotel dan pusat membeli belah yang dijangka memberi sumbangan kira-kira RM1.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perak.
Dr Zambry berkata, projek yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu merupakan kawasan pertumbuhan baru di kawasan Meru.
“Kita mengharapkan dengan adanya pembinaan hospital ini yang menggunakan satu pendekatan baru di mana ia akan menjadi sebuah univerisiti hospital yang akan juga berperanan menjadi hospital untuk orang ramai dan juga pihak swasta,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah itu.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany; Pengerusi Eksekutif WQIP, Datuk Seri Vijay Eswaran; Pengerusi Ch.ina Energy Hua Ren Industrial Investment Co Ltd., Wang Wei dan dan Pengarah Urusan GVC, Chandrasegaran Suppiah.
Selain hospital universiti yang mengandungi 840 katil, Qi City juga akan menempatkan Quest International University Perak, tiga blok kondominum dengan 768 unit, kedai runcit dan pusat konvensyen yang boleh menampung sehingga 1,500 orang pada satu-satu masa.
Chandrasegaran berkata, pembangunan Qi City akan menjadi pemangkin bagi mewujudkan pekerjaan baru di samping menjanjikan pembangunan sebuah ekosistem ekonomi mampan untuk melengkapkan inisiatif kerajaan negeri menjadikan Bandar Meru Raya sebuah hub ekonomi.
Vijay pula percaya, bahawa kemudahan pendidikan dan kesihatan yang akan ditawarkan boleh menjadi jambatan bagi Malaysia mengeratkan hubungan dengan negara-negara ASEAN yang lain.
Bercakap pada sidang media yang sama, beliau menjelaskan, pihaknya memilih untuk melabur di Ipoh kerana yakin dengan suasana pelaburan yang kondusif di samping percaya dengan pentadbiran kerajaan negeri.
“Kami yakin dengan masa depan perniagaan di Perak akan terus melabur di masa-masa akan datang,” kata beliau yang juga merupakan anak kelahiran Ipoh yang telah berjaya mencipta nama sehingga ke peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Vijay berkata, Perak bukanlah sebuah negeri miskin seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak, ekoran laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) baru-baru ini.