top of page

214 Kes Dengan 1 Kematian Libatkan Wabak Kencing Tikus Di Perak

  • muinsapidin
  • Sep 9, 2016
  • 1 min read

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri Perak merekodkan 214 kes wabak kencing tikus dengan satu kematian dilaporkan di seluruh negeri tahun ini sehingga 1 September lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata kes terbaru dilaporkan berlaku pada 8 Mei lepas melibatkan kematian seorang wanita berusia 37 tahun daripada Kampung Ketior, Kuala Kangsar.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati wanita tersebut tidak terlibat dalam sebarang aktiviti berkelah, jungle trekking dalam tempoh 21 hari sebelum disahkan menghidap wabak kencing tikus.

“Kami telah memeriksa sekitar rumah beliau dan mendapati kawasan luar rumah tidak begitu bersih namun bahagian dalam rumahnya agak memuaskan,”katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Khamis.

Ditanya mengenai tindakan JKN dalam memastikan kawalan wabak kencing tikus tersebut, Dr Juita berkata pihaknya sentiasa memberi advokasi dan nasihat kepada orang ramai mengenai penjagaan kebersihan optimum.

“Kita sentiasa memberikan nasihat berterusan mengenai kebersihan alam sekitar, teknik pembuangan sampah yang betul dan berhemah, dan memakai pakaian perlindungan yang sesuai sekiranya melakukan aktiviti luar.

“Malah, kami turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar ( JAS) Negeri Perak serta pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan untuk memastikan tahap kebersihan tempat rekreasi di sekitar negeri,”katanya lagi.


Comments


bottom of page