top of page

‘Baik Kau Bunuh Aku...’

  • muinsapidin
  • Sep 9, 2016
  • 2 min read

JOHOR BAHRU - "Baik kau bunuh aku..aku sanggup mati daripada masuk penjara,” kata seorang wanita berusia 54 tahun ketika cuba diselamatkan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru susulan kisahnya menjadi viral di media sosial.

Kisah wanita yang dikenali sebagai Che Manis itu dikongsi di Facebook oleh seorang insan prihatin, menggunakan akaun, Syahirin Al-Muslim yang memohon JKM Johor Bahru menyelamatkan wanita itu yang didapati tinggal di sebuah pondok di Jalan Bumi Hijau Taman Pandarosa, di sini, sejak seminggu lalu.

Pegawai JKM Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, susulan maklumat diterima, pihaknya berjaya menyelamatkan wanita berkenaan yang dipercayai mengalami masalah mental walaupun pada mulanya bertindak agresif termasuk mengeluarkan kata-kata kesat.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan pada kad pengenalan wanita itu selepas berjaya ditemui kira-kira jam 4 petang semalam, dia sebelum ini tinggal di Jalan Taat Wadi Hassan, di sini.

“Kita terpaksa mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuknya selepas dia bertindak agresif selain mengeluarkan kata-kata kesat, malah apa yang memeranjatkan dia mendakwa pernah dipenjara.

“Berdasarkan pemeriksaan, kita percaya wanita itu mengalami masalah mental menyebabkan dia tinggal di sebuah pondok dipercayai dibina sendiri di lokasi berkenaan, malah ketika ditemui dia mendakwa pondok dan beberapa barangan miliknya telah ‘dicuri’.

“Kemungkinan pondoknya yang dibina telah dibersihkan pihak tertentu. Selain itu, hasil maklumat orang ramai, wanita itu turut meminta wang daripada orang ramai, dan bertindak agresif jika kemahuannya tak dilayan,” katanya.

Beliau berkata, melalui semakan, wanita itu tidak pernah ditahan dalam Ops Gelandangan dan Kutu Rayau dijalankan JKM. Dia juga mengakui masih mempunyai keluarga termasuk anak saudara namun tidak ingat alamat dan nombor telefon untuk dihubungi.

Manayi berkata, satu laporan polis dibuat JKM Johor Bahru, semalam bagi kes berkenaan manakala wanita itu dibawa ke Rumah Seri Kenangan, di sini, untuk penempatan sementara.


Comments


bottom of page