top of page
muinsapidin

Wabak Kencing Tikus Punca Lata Chepor, Ulu Kinta Kini Sepi

IPOH: Kawasan pusat rekreasi Ulu Kinta yang terletak sekitar 18 kilometer daripada bandaraya Ipoh yang menjadi tumpuan utama satu ketika dahulu kini sepi berikutan kebimbangan orang ramai akan jangkitan wabak kencing tikus.

Tinjauan Suara Perak di kawasan berkenaan mendapati lata itu yang dahulunya sentiasa dipenuhi pengunjung dilihat lengang dan sepi malah seolah-olah sudah ditinggalkan agak sekian lama.

Remaja Lokman Hakim Hamidul, 18, yang tinggal di kampung berdekatan melahirkan rasa agak sedih dengan keadaan air terjun itu yang lengang.

Katanya tempat itu banyak menyimpan kenangannya di zaman kanak-kanak kerana ia merupakan lokasi kegemaran keluarga satu ketika dahulu.

“Boleh dikatakan di sinilah kawasan utama saya dan keluarga beriadah, dulu setiap hujung minggu ayah dan mak pasti akan menyiapkan bekal dan membawa kami adik-beradik ke sini untuk berkelah dan mandi manda.

“Tetapi, sejak dua tiga tahun lepas, kami tidak ke sini lagi kerana takut dapat kencing tikus. Kami dapat tahu ramai yang sakit setelah mandi di kawasan ini. Jadi kami elak dari datang ke sini lagi. Malah ramai kenalan dan jiran-jiran juga sudah tidak lagi datang untuk berkelah dan mandi seperti dulu,”katanya ketika ditemui Suara Perak.

Katanya, beliau akan datang sesekali bersama rakan atau adik-beradiknya yang lain sekadar berkelah di bahagian luar kawasan rekreasi itu namun tidak akan mandi di dalam kawasan air terjun itu berikutan turut bimbang dengan kadar kebersihannya.

Kedaan sama turut berlaku di kawasan rekreasi air terjun Ulu Chepor berdekatan Meru yang terletak sekitar 15 kilometer daripada Ipoh.

Senario ini dikatakan terjadi berikutan banyak kes kencing tikus yang direkodkan berpunca setelah mangsa mengunjungi kawasan air terjun.

Penduduk Kampung Ulu Chepor, Abdul Aziz Bashir, 65, bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza apabila ditanya mengenai kawasan air terjun yang kini tidak lagi menjadi tumpuan orang ramai.

Beliau berpendapat agak tidak adil untuk terus mengaitkan kencing tikus dengan air kawasan air terjun sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai untuk mengunjunginya.

“ Yang saya hairan, kalau benar kawasan air terjun adalah punca jangkitan kencing tikus mengapa ianya tidak ditutup terus. Mengapa biarkan beroperasi hingga hari ini? Saya faham kalau di Ulu Kinta mungkin disebabkan sudah lama terbiar tetapi air terjun Ulu Chepor masih beroperasi dan dibuka.

“Jadi, saya cuma nak minta Jabatan Kesihatan Negeri Perak untuk membuat satu pemeriksaan dan hasilnya umumkan kepada masyarakat, sekiranya tidak benar maka perkara ini harus disebarkan untuk mengembalikan keyakinan mereka datang ke sini seperti dahulu.

“ Dan sekiranya benar, lakukan tindakan sewajarnya agar punca sebenar wabak ini boleh dikenalpasti dengan segera, inikan pusat pelancongan negeri kita, takkan nak terus biarkan macam ni sahaja?”kata Abdul Aziz yang telah menetap berhampiran di kawasan air terjun itu sejak lebih sedekat lamaya.

Menurutnya kadar kunjungan yang semakin hari semakin berkurangan itu turut menjejaskan perniagaan keluarganya yang menjual kuih-muih di tepi jalan masuk ke pusat rekreasi itu.


697 views0 comments
bottom of page