Seorang kontraktor akibat kecederaan parah di kepala selepas melanggar belakang sebuah lori kontena di kilometer 10 Jalan Seri Manjung – Segari pada pagi Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, dalam kejadian jam 6.50 pagi tersebut mangsa berusia 38 tahun itu mati ditempat kejadian.
“Kereta Honda Civic yang dipandu mangsa dipercayai telah melanggar bahagian belakang lori kontena yang diparkir di sebelah kiri jalan menghala ke arah Seri Manjung.
“Mangsa telah cedera parah di bahagian kepala dan disahkan mati di tempat kejadian oleh pihak ambulan dari Hospital Seri Manjung,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Tambah beliau, hasil bedah siasatan ke atas mangsa yang bekerja sebagai kontraktor itu mendapati punca kematian adalah disebabkan patah serviks (cervical fracture).
Katanya lagi, pemandu lori kontena itu pula yang berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.