BENTA - Penduduk pekan Benta dan beberapa perkampungan tradisional lain di kawasan itu kecewa dan bingung dengan keadaan Sungai Benta yang didakwa tercemar.
Sungai yang sebelum ini menjadi sumber pengairan tanaman, ternakan ikan air tawar dan alternatif untuk kegunaan harian kini dipenuhi aliran lumpur, berkeladak dan berwarna kemerahan.
Pencemaran itu didakwa kerap berlaku sejak Jun lalu, terutamanya selepas hujan hingga menyebabkan habitat akuakultur terancam.
Masalah tersebut didakwa berpunca daripada pembuangan sisa lumpur dipercayai dari tapak perlombongan di kawasan hulu sungai.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Azmi berkata, air Sungai Benta adalah sumber bekalan air kepada penduduk pekan itu yang diproses di pam galak berhampiran.
“Penduduk susah nak dapat air alternatif kalau terputus bekalan air bersih. Kami juga tak dapat nak mengairi kawasan pertanian sebab ancam kesihatan dan beri kesan pada tanaman,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, sedekad lalu, air Sungai Benta sangat jernih sehingga ikan berenang di dalamnya boleh dilihat dengan jelas.
Abdul Rani Mohamad, 40, pula berkata, penduduk tidak menafikan pembangunan yang rancak dijalankan di pekan berkenaan tetapi kesal dengan sikap pihak yang menjalankan kegiatan melombong hingga mencemarkan air sungai.
Menurutnya, pencemaran sungai itu memusnahkan habitat ikan air tawar yang menjadi sumber komersial penduduk setempat selain pemacu sektor pelancongan di Benta.
“Sungai Benta menjadi lokasi penduduk memulihara pelbagai spesies ikan tawar selain mereka menjalankan ternakan bagi tujuan komersial di negeri ini.
“Selagi kegiatan tidak bertanggungjawab itu tidak dikawal, aliran sungai akan terus tercemar dengan airnya semakin likat dan berubah warna kemerah-merahan yang tidak sepatutnya dijadikan sumber bekalan air untuk minuman, memasak, mandi manda, ternakan akuakultur dan pengairan pertanian,” katanya.
Sementara itu, Azimah Tamsi, 35, berkata, pihak berkaitan perlu menyiasat punca sungai itu tercemar dan mengelakkan masalah sama berulang.
Menurutnya, pengusaha projek tertentu di hulu dan berdekatan aliran itu perlu mengambil kira keselesaan penduduk di samping pemuliharaan keceriaan dan kebersihan sungai selari hasrat kerajaan negeri.
“Kami berpendapat kegiatan perlombongan di kawasan hulu sungai perlu dihentikan agar punca air berkenaan tidak tercemar bagi keselesaan penduduk menikmati bekalan air bersih yang menjamin kesihatan,” katanya.