Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis di atas enam pertuduhan memperdagangkan enam wanita warga Thailand untuk tujuan ekploitasi seksual di Kampar bulan lalu.
Tertuduh, Chong Lim Fatt, 30, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin. Lim Fatt yang bekerja sebagai penjaga rumah urut didakwa melakukan ekploitasi seksual ke atas enam wanita warga Thailand berusia 30 hingga 40an tersebut di Jalan 1, Jalan Siswa, Taman Siswa, Kampar di antara 2 hingga 18 Ogos lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun dan denda. Hakim Ikmal Hishan kemudiannya membenarkan ikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM35,000 untuk enam pertuduhan tersebut dan kes akan disebut semula 29 September ini. Pendakwaaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof, Fadhli Ab Wahab dan Nurul Azriah Zaid manakala tertuduh diwakili peguam Bernard Francis.