IPOH: Tindakan pembangkang untuk memaikan dan memanipulasikan isu kemiskinan di Perak memang sudah dijangka, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Kata beliau sudah dapat membaca strategi pembangkang yang akan menggunakan isu itu habis-habisan sebagai senjata politik untuk memperlekehkan kerajaan negeri.
Menurutnya maka beliau tidak terkejut dengan kenyataan media Penasihat DAP Perak, Nga Kor Ming yang disiarkan media cetak hari ini.
“Dia (Kor Ming) tetap memainkan isu ini walaupun Datuk Charon (Pengarah Urusan KRI) sudah pun membuat penjelasan bahawa Perak bukan negeri termiskin.
Apabila isu ini mula-mula keluar dalam media, saya sudah jangkakan pembangkang akan menggunakan ia sebagai senjata politk seolah-olah mereka mendapat ‘peluru’ bahawa untuk memperlekehkan kerajaan negeri.
Ini strategi politik mereka. Inilah peluang terbaik mereka untuk menghentam kerajaan habis-habisan dan memanupulasi fakta supaya rakyat percaya bahawa Perak ini negeri miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di pejabatnya hari ini.
Dr Zambry mengulas kenyataan akhbar Kor Ming dalam media tempatan hari ini yang menyebut kerjaan Perak perlu mengemukakan dasar baharu dana, menghentikan penafian berkaitan laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mengenai kedudukan negeri ini yang berada ditangga kedua pendapatan isi rumah paling rendah.
Menurut Dr Zambry, Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Mokhzani dalam pertemuan dengannya semalam telahpun menyatakan bahawa Perak bukan negeri kedua termiskin selepas Kelantan.
“Charon telah berjumpa dengan saya dan beliau sendiri teruja melihat pembangunan di negeri ini ketika dua hari berada di sini untuk menyertai Dialog Pangkor 2016.
Dengan suasana pembangunan yang ada dia juga merasakan fakta tentang Perak ini perlu dilihat semula sama ada fakta tersebut benar-benar mengambarkan realiti sebenar Perak,’’ katanya.
Menurut Dr Zambry, Charon juga bersetuju bahawa sample-sample yang digunakan daripada Jabatan Statistik mungkin tidak benar.
“Dia juga memberitahu saya KRI akan melihat semula dan bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak sebelum menjalankan kajian semula,” katanya.
Sehubungan itu Dr Zambry menasihatkan Kor Ming supaya jangan menjadikan isu kemiskinan ini sebagai modal politik murahan kerana rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan isu remeh temeh seperti ini.
Menjawab soalan pemberita, beliau secara sinis berkata agak malang bagi Kor Ming untuk tinggal dalam sebuah negeri yang didakwanya miskin tetapi beliau sendiri mampu membeli dan mendiami rumah mewah.