IPOH: Perak akan mencadangkan supaya Pangkor Dialogue yang berakhir semalam diangkat sebagai salah satu acara besar yang melibatkan Kerajaan Persekutuan.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, perkara ini dilihat perlu memandangkan penganjuran Pangkor Dialogue yang bertaraf antarabangsa itu melibatkan penyertaan pemimpin-pemimpin luar negara yang boleh dijadikan sebagai asas kepada hubungan diplomasi antara Malaysia dan negara-negara lain.
“Kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Unit Perancang Ekonomi dan juga di peringkat Jabatan Perdana Menteri agar dapat mengangkat Pangkor Dialogue ini sebagai salah satu acara besar yang melibatkan sama Kerajaan Persekutuan.
Selain asas merapatkan hubungan diplomasi, Pangkor Dialog ini penting kerana ia merupakan satu acara Festival Idea,’’ katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut berhasrat untuk menjadikan Pangkor Dialogue ini sebagai Festival of Ideas (Festival Idea) dengan membawa tokoh-tokoh ternama dunia yang dapat membincangkan perkara-perkara berkaitan pembangunan .
Beliau berkata, ia juga menyediakan platform baharu dalam usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan pembangunan yang mapan dan juga bersifat inklusif untuk masa kini dan masa hadapan.
Menurut Dr Zambry, pada dasarnya beliau amat gembira dengan keseluruhan penganjuran yang diadakan pada kali ini yang ternyata dengan sendirinya meletakan negeri Perak di peta antarabangsa.
``Ramai yang datang melihat Malaysia di luar daripada Kuala Lumpur dan mereka melihat sendiri dari segi suasana yang ada dalam negeri Perak dan keadaan negeri Perak yang pada pandangan mereka merupakan sebuah negeri yang indah dan cantik,’’ katanya.
Dr Zambry turut merakamkan penghargaan dan terima kasih beliau kepada semua pihak yang menjayakan Pangkor Dialogue ini yang dianggapnya sebagai antara yang berjaya selepas empat tahun dengan penambahan penyertaan peserta daripada 21 negara.