Guru sekolah yang patah tangan akibat dicederakan anggota polis pada 3 September lalu di Lenggong kini dalam keadaan trauma.
Menurut sumber, guru yang disangka penagih dadah itu sedang dalam usaha mendapatkan khidmat tradisional di kampung halaman beliau di Kota Baharu Kelantan untuk memulihkan semangatnya.
"Setiap kali dengar bunyi ekzos motor, mangsa menjadi takut kerana masih terbayangkan kes beliau ditangkap dan dibelasah," kata sumber ketika dihubungi Rabu.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata guru dari Sekolah Kebangsaan Bukit Sapi itu telah diberi cuti tiga minggu dan akan diberi khidmat kaunseling.
“Saya ada menghubungi cikgu itu tadi, dia telah pun berada di Kota Baharu ketika ini untuk berehat bersama keluarga, kita biarkanlah dia berehat seketika.
“Daripada apa yang saya faham, kejadiaan itu berlaku akibat salah faham di antara beliau dan juga pihak polis yang ketika itu sedang melakukan operasi narkotik,” katanya pada satu sidang media khas di Ipoh pada Rabu.
Muhammad Amin berkata, ketika kejadiaan guru berkenaan dalam perjalanan pulang selepas mengajar kelas tambahan sebelum ditahan oleh sekumpulan anggota polis tanpa uniform.
“Ketika dalam perjalanan pulang polis melambai dia di tepi jalan tetapi akibat waktu dah hampir malam, dia takut dirompak jadi dia teruskan perjalanan sebelum polis itu kejar dan menahan.
“Ketika ditahan, polis tak percaya dia itu merupakan seorang guru dan dia pula tak percaya mereka itu polis, jadi ketika dalam proses polis cuba gari dia berlakunya pergelutan,” jelasnya.
Sementara itu di Mahkamah Pengkalan Hulu, seorang konstabel polis berusia 32 tahun telah direman selama empat hari bermula hari ini (Rabu) bagi membantu siasatan kes berkenaan.