IPOH:Seorang anggota polis yang didakwa telah mencederakan tangan seorang guru Sekolah Kebangsaan Bukit Sapi, Lenggong, telah ditangkap pada petang Selasa.
Keratan Video Viral
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, anggota berkenaan dipercayai telah menyebabkan kecederaan kepada guru berkenaan sehingga patah tangan kiri. "Permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu. "Siasatan akan dilengkapkan segera dan dirujuk ke Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita. Menurut beliau, pihaknya menjalankan siasatan dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan. Dalam kejadian pada 30 Ogos( Selasa) lepas, mangsa pada hari tersebut baharu selesai mengajar kelas tambahan bagi murid-murid tahun enam yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Sekitar jam jam 7.15 malam, guru terbabit kemudiannya telah ditahan dua anggota polis berpakaian preman (biasa) kerana mengesyaki mangsa adalah penagih dadah dan dibawa ke balai polis untuk siasatan. Menurut kenyataan yang viral di laman sosial Facebook, guru terbabit dipercayai telah dikasari oleh anggota polis sehingga menyebabkan tangan kirinya patah. Kejadian guru malang berkenaan menjadi viral dalam laman sosial apabila orang ramai turut merakam kejadian itu menerusi video pendek berdurasi 20 saat.