Ipoh: Usaha meningkatkan keupayaan instrumen zakat diyakini mampu menjana ekonomi, sekaligus menjadi instrumen yang sangat penting untuk membangunkan sosio ekonomi umat Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, instrumen wakaf juga dapat mengupayakan ekonomi ummah menerusi penciptaan peluang pekerjaan melalui perniagaan dan keusahawanan.
"Kegiatan itu akhirnya akan dapat menjana pendapatan dan kekayaan kepada mereka yang akhirnya membawa kepada kesejahteraan ummah secara keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada forum bertajuk Meningkatkan Kesedaran Terhadap Wakaf Untuk Kepentingan Ummah di Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) di Pusat Konvensyen Aman Jaya, di sini pada Selasa.
Forum itu menampilkan empat ahli panel, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Awqaf Holdings, Tan Sri Ali Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dr Amiruddin Muhamed.
Asyraf berkata, sejarah membuktikan bahawa wakaf memainkan peranan yang sangat penting dalam membina kejayaan sesebuah tamadun bermula dari zaman Rasulullah SAW hinggalah selepas kewafatan baginda.
Beliau memberi contoh, zaman Bani Abbasiah dan Umaiyah telah menunjukkan perkembangan wakaf yang luar biasa di mana pengagihan dan penyaluran wakaf bukan sekadar kepada bantuan untuk fakir miskin dan berbentuk kebajikan, malah ia diperluaskan kepada pembinaan rumah ibadat, pusat pendidikan penempatan umum dan prasarana kesihatan.
Beliau berkata, di Perak, Waqaf Perak Ar Ridzuan (WPAR) yang dilancarkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 7 April lalu sudah pun mencapai dana sebanyak RM1.5 juta.
Menurut beliau, MAIPk melihat secara positif dalam membangunkan sektor wakaf di negeri Perak termasuk melaksanakan inisiatif mendapatkan pelepasan penuh cukai bagi umat Islam yang berwakaf dengan WPAR.
Sementara itu Dr Amiruddin berkata, terdapat empat bidang utama yang dilaksanakan WPAR iaitu keagamaan, ekonomi, kesihatan dan pendidikan.
Katanya, di bawah empat bidang itu, MAIPk sedang dan akan melaksanakan pembinaan asrama pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), wakaf pembanguna dan perkembangan ilmu al-Quran, Waqf Business Center (WBC), wakaf ilmu, wakaf pembinaan pusat hemodialisis, wakaf bot dan wakaf tunai.