Ipoh: Kerajaan negeri Perak dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan hala tuju strategik bagi mempromosi pembangunan usahawan inovatif di negeri ini.
Kerjasama itu dibuat sempena penganjuran Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (Pangkor Dialogue) bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi mapan di negeri ini.
Majlis menandatangai MoU membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi dan Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dr Zambry ketika berucap berharap kerjasama itu akan memulakan inovasi dan keusahawanan di Perak serta berupaya membantu usahawan tempatan mengasah kemahiran perniagaan mereka dan membangunkan idea baik untuk pernigaan yang lebih berdaya maju.
"Malaysia mengiktiraf kepentingan kreativiti dan inovasi dalam membantu mentransformasikan negara menjelang 2020 dan usaha itu perlu dijalankan di peringkat kebangsaan dan diusahakan secara aktif," katanya.
Sementara itu, Ashran berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana berpeluang untuk menjalinkan usahasama dengan usahawan Perak melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman.
"MaGIC sedang berusaha untuk mentransformasikan sektor keusahawanan di seluruh Malaysia dan saya berharap kerjasama bersama kerajaan Perak akan menjadi titik permulaan supaya lebih banyak lagi kerajaan negeri lain untuk bekerjasama dan menggalakkan pertumbuhan keusahawanan dalam komuniti tempatan," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Nazaruddin berkata, KPerak berharap dengan sokongan dan panduan strategik yang bakal diterima dan diberikan MaGIC melalui kerjasama itu, banyak idea dan bakat dapat diketengahkan dan direalisasikan.