Ipoh - Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat di sini melakar sejarah apabila muncul juara dunia dalam Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Thailand pada 1 September lalu.
Nuramisha Azrilrizal, dari Taman Syarikat Gunung Rapat, yang mewakili Malaysia, muncul juara selepas menewaskan peserta tuan rumah dalam kejohanan itu yang diadakan di Bangkok.
Nuramisha berkata, kejayaannya itu amat tidak disangka kerana dia langsung tidak menentapkan sasaran untuk memenangi pingat dan hanya sekadar untuk mencari pengalaman.
“Saya langsung tidak harapkan emas dan hanya mahu cuba untuk buat terbaik untuk keluarga yang banyak memberi sokongan.
“Ketika perlawan akhir itu, penyokong tuan rumah amat ramai sehinggakan saya gementar, tetapi alhamdullilah saya tak rasa takut dan berjaya mengalahkan lawan yang lebih tinggi dari saya,” katanya pada satu sidang media di Ipoh pada Selasa.
Penaung Persatuan Muaythai Amatur Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, kejayaan Nuramisha akan menjadi pemangkin semangat kepada anak-anak Perak yang lain.
"Sukan ini sudah mula menampakkan hasil, dari satu acara yang pada mulanya nampak asing tetapi hari ini sudah mula diterima oleh pelajar-pelajar di sekolah.
"Buat masa ini, dua buah sekolah iaitu SMK Tambun dan SMK Rapat Setia sudah menubuhka Kelab Muay Thai dan sudah memulakan latihan.
"Kita harapkan lebih banyak sekolah dapat memberikan peluang kepada Persatuan Muay Thai Amatur Negeri Perak untuk memperluaskan sukan ini bagi mencari lebih ramai atlet dalam sukan ini," katanya dalam sidang media sama.
Dalam kejohanan itu, Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas, tiga pingat perak dan empat pingat gangsa dalam acara Muay Thai, Muay Boran dan Wai Khru.