top of page
muinsapidin

Pangkor Dialogue Perintis Idea Inovatif Malaysia- Madius Tangau

IPOH: “Inovasi dan kreativiti adalah masa depan Malaysia dan Pangkor Dialogue sudah pun berada di landasan yang betul,” demikian ulasan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau mengenai program dialog antarabangsa yang berlangsung selama empat hari di Casuarina@Meru, di sini dengan himpunan penceramah daripada 25 negara.

Menurut menteri itu, beliau amat mengkagumi inisiatif Institut Darul Ridzuan (IDR) dalam memastikan kelestarian pembangunan mampan dijalankan tanpa melupakan elemen penting bagi masa depan berteknologi iaitu pendekatan inovatif dan kreatif di dalam sesi-sesi kecil sepanjang dialog itu.

Beliau berkata, ia berkaitan dengan bagaimana golongan belia, dewasa dilatih untuk berfikir di luar kotak, bagaimana untuk menyusun atur idea dan mengasah kadar kreativiti untuk sebuah produk baru yang semuanya ada di dalam Pangkor Dialogue sendiri.

“Penciptaan, inovasi, penambahbaikan teknologi dan kaitan di antara alam sekitar serta pembangunan inklusif, semuanya dikaitkan dan dibincangkan bersama semua pihak, ini adalah usaha IDR yang cukup berfikiran ke depan dan inilah yang diperlukan oleh Malaysia,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Casuarina@Meru di sini pada Selasa.

Menurut beliau, Pangkor Dialogue bertindak sebagai perintis untuk menjadi konvensyen kepada pemikir celik IT yang mempunyai pengetahuan untuk mencorak masa depan menggunakan teknologi dan inovasi.

Jelasnya, tinjauan di sekitar Pangkor Dialogue itu mendedahkan variasi cerdik pandai di mana-mana “satellite events” yang berjaya mengupas permasalahan tunjang sesuatu perkara, sekaligus menyelesaikannya dengan bantuan peserta dari seluruh dunia.

“Bayangkan, limpahan idea yang penuh dengan unsur inovatif dan kreatif dari seluruh pelusuk dunia dengan latar belakang berbeza, pastinya ada satu penyelesaian, malah idea baru yang seterusnya dapat membuatkan Malaysia lebih selesa untuk diduduki dan didiami pada masa depan,” katanya lagi.


22 views0 comments
bottom of page