top of page
muinsapidin

Nagaland Mahu Contohi Inisiatif Pangkor Dialogue

IPOH: Pengisian akademik serta pandangan global yang diketengahkan di dalam program dialog berprestij, Pangkor Dialogue wajar dijadikan contoh di peringkat global khususnya bagi negeri yang sedang membangun.

Ketua Menteri Nagaland, T. R Zeliang berkata, beliau amat kagum dengan inisiatif yang diusahakan Insitut Darul Ridzuan (IDR) yang bukan sahaja berjaya menghimpunkan para penceramah tersohor dari seluruh dunia, malah memberikan pelbagai perspektif kritikal dalam pembangunan mampan dan inklusif.

Katanya, sebagai seorang pemimpin, beliau amat teruja dengan pengisian padat dan ringkas, namun penuh ilmiah yang dibentangkan oleh golongan profesional dalam dialog tersebut dan bercadang untuk menjadikan dialog tersebut sebagai model di negerinya sendiri, kelak.

“Terdapat banyak persamaan dari segi Perak dan Nagaland kerana kedua-dua kami mempunyai struktur komposisi tanah yang luas dan belum diterokai, bezanya Perak bijak memastikan bidang pengurusan tanah yang dibangunkan secara strategik.

“Saya akan berbincang dan bercadang untuk mengambil pandangan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengenai kaedah pengurusan tanah, baik untuk perumahan, perindustrian dan pelancong yang sistematik dan membawanya ke negeri kami sebagai contoh dan panduan,” katanya kepada Suara Perak selepas mengakhiri sesi “Alam Sekitar” bersama dengan ahli panel lain di Hall 3, Casuarina@Meru di sini pada Selasa.

Menurut beliau, antara yang menarik minatnya sebagai seorang pemimpin di Nagaland, sebuah negeri di selatan India dengan populasi dua juta penduduk ialah sistem pertanian bersepadu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Perak serta beberapa jenis model pertanian yang begitu terperinci.

Tambahnya, beliau amat meminati sesi dialog bersama dengan pemimpin lain di Davos Asia itu yang membolehkannya berbual dengan para cendekiawan dari seluruh dunia di dalam sebuah ruang yang santai namun penuh ilmiah.

“Saya tertarik dengan sistem pengurusan tadbir urus kerajaan negeri Perak, sistem perundangan yang kemas serta bagaimana kerajaan negeri dapat memastikan semua peringkat dapat menikmati kekayaan hasil negeri dan tidak terpinggir daripada rancangan pembangunan yang kini rancak berlangsung.

"Memang tak puas kerana kalau boleh, saya hendak kekal di sini untuk menambah ilmu sebanyak yang mungkin yang saya yakin, boleh membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Nagaland, malah memastikan kami menggunakan hasil tanah sebaik mungkin di dalam pelbagai sektor, baik pelancongan, pertanian dan sebagainya,” katanya lagi.

Harapannya, agar Pangkor Dialogue dapat terus menjadi platform kepada percambahan dan pertukaran idea bertaraf antarabangsa dengan penyertaan lebih banyak daripada negara lain pada masa hadapan.


19 views0 comments
bottom of page