IPOH: Gabungan Tanggungjawab Sosial Perusahaan Kecil dan Sederhana Asia (CSRSME Asia) mahu mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri Perak untuk menembusi pasaran produk makanan halal di Filipina.
Presidennya, Benjamin R Quinones Jr berkata, model yang digunakan di Perak dalam membangunkan industri halal boleh diterapkan di Filipina.
Menurut beliau, ketika ini, Filipina tidak mempunyai jabatan ataupun mana-mana badan yang boleh mengeluarkan sijil halal, jadi pasarannya adalah besar.
“Apa yang saya cadangkan di sini, kita mahu adakan kerjasama dengan kerajaan negeri ini untuk bersama-sama kita bangunkan industri halal di sana,” katanya ketika ditemui Suara Perak pada Dialog Antarabangsa Pangkor dekat Ipoh pada Selasa.
Benjamin yang dikenali sebagai penggerak utama ekonomi perpaduan di Asia memberitahu, jika kerjasama itu terlaksana, pihaknya percaya Perak mampu menjadi peneraju dalam mengeluarkan produk berasaskan halal di negara itu.
“Mungkin Perak boleh berbincang dengan agensi-agensi yang menguruskan hal berkenaan sijil halal dan sebagainya di Malaysia ini mengenai tawaran kerjasama kita ini.
“Malaysia merupakan antara peneraju utama dalam dunia ini berkaitan produk berasaskan halal, jadi saya lihat potensi kerjasama ini amat-amat besar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Benjamin berkata, PIDD merupakan satu platform yang baik bagi memulakan insiatif kerjasama berkenaan.
“PIDD ini merupakan Davos untuk Asia, saya amat-amat puji inisiatif kerajaan negeri.
“Pada tahun hadapan, mungkin kita boleh bicangkan kerjasama ini dengan lebih lanjut dengan memanggil lagi pakar-pakar dalam industri halal untuk merealisasikan kerjasama yang saya sebut tadi,” katanya.