IPOH: Budaya inovasi boleh dibentuk sejak dari bangku sekolah kerana ia bergantung kepada sosio-ekonomi sesebuah tempat, negeri atau negara.
Peneraju Yayasan Digital India, Arvind Gupta berkata, semua orang boleh melakukan inovasi kerana tidak ada maksud khusus mengenai pengertian inovasi itu sendiri.
Beliau berpendapat, sesuatu inovasi di Malaysia atau India, mungkin bukan merupakan suatu inovasi di Amerika Syarikat atau Silicon Valley.
“Inovasi adalah pemikiran yang berbeza yang boleh memberi nilai dan impak kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada sidang plenary sempena Persidangan Pembangunan Antarabangsa Pangkor (Pangkor Dialogue) 2016 pada Selasa.
Ketika pilihanraya India pada 2014, Arvind mengetuai kempen digital dan media sosial Bharatiya Janata Party (BJP) yang menyaksikan pemimpin parti itu, Narendra Modi terpilih menjadi Perdana Menteri India.
Arvind memberitahu, hasil inovasi dengan menggunakan sistem perbankan menggunakan telefon mudah alih di India, sebanyak 220 juta akaun bank berjaya dibuka dalam tempoh tidak sampai setahun dengan nilai kira-kira RM4 bilion (USD10 bilion).
Menurutnya, sistem itu hanya menggunakan telefon mudah alih yang murah, yang mampu dimiliki oleh rakyat miskin di negara ini.
Bagaimanapun, kata beliau, komunikasi sangat penting dalam pelbagai bidang, termasuk inovasi.
Beliau memberi contoh, dalam kes di India, tidak mungkin 220 juta akaun baru dapat dibuka sekiranya tiada komunikasi yang berkesan, umpamanya kempen diiklankan di dalam akhbar berbahasa Inggeris.
“Jika diiklankan dalam akhbar berbahasa Inggeris untuk masyarakat pedalaman, mereka mungkin tidak tahu, malah mereka tidak membacanya pun kerana tidak faham,” tambah beliau.
Dalam pada itu, katanya, bagi menjayakan lagi inovasi itu, perlu ada peranan `role model’ kerana lazimnya masyarakat akan mengikuti atau mencontohi `role model’ tersebut.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Developing A Sustainable Digital Economi” pada sesi yang berlainan, Arvind yang berpengalaman 20 tahun di dalam kepimpinan, polisi dan keusahawanan di Silicon Valley dan India berkata, inovasi dapat menyelesaikan masalah setempat.