IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mensasarkan 70 peratusan lulus daripada 35,521 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seluruh negeri untuk tahun ini.
Gambar Hiasan
Pengarahnya, Rozi Puteh Ismail berkata, walaupun buat pertama kali calon-calon menduduki enam kertas berbanding lima kertas daripada empat subjek pada tahun lalu, JPN Perak yakin sasaran tersebut boleh dicapai.
Menurut beliau, enam subjek itu ialah Bahasa Melayu, Inggeris, Sains dan Matematik di samping kertas Bahasa Inggeris Penulisan yang diperkenalkan kali pertama.
“Untuk percubaan UPSR tahun memang ada peningkatan, kita capai 49.02 peratus lulus kesemua kertas jadi kita sekarang cuba sasarkan untuk capai 70 peratus untuk pemeriksaan sebenar ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Jelapang pada Isnin.
Seramai 35,521 calon UPSR di negeri ini mula menduduki subjek Bahasa Melayu di 869 pusat peperiksaan pada Isnin.
Rozi memberitahu, daripada 35,521 calon itu, 8,379 adalah murid Tahun Enam di sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) dan 2,283 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Katanya, jumlah itu termasuk 825 calon di sekolah swasta, 340 calon Orang Asli dan 10 calon yang menduduki peperiksaan itu di tujuh hospital daerah.
“Hari ini mereka mula dengan kertas Bahasa Melayu, kemudian diikuti dengan kertas Bahasa Inggeris, Matematik dan akhir sekali pada 8 September kertas Sains. Setiap hari satu subjek sahaja,” jelasnya.