IPOH: Perak kini berada dalam landasan transformasi pembangunan ekonominya yang tersendiri tanpa mengikut acuan pembangunan negeri-negeri lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, meskipun terletak di antara dua negeri yang terkenal dengan kepesatan pembangunannya - Selangor dan Pulau Pinang, namun Perak perlu mewujudkan pembangunan ekonominya yang tersendiri.
“Kita tidak boleh jadi seperti Selangor dan Pulau Pinang, maka tugas yang perlu dilaksanakan ialah memastikan Perak menjadi sebuah negeri yang mempunyai identiti sendiri dalam pembangunan ekonominya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dialog Pembangunan Antarabangsa (Pangkor Dialogue) kali yang keempat di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada Isnin.
Dr Zambry berkata, kesungguhan kerajaan negeri dalam menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, terutama lepasan universiti dalam sektor industri berasaskan kemahiran teknologi tinggi.
“Golongan muda ini perlu respon kepada keperluan industri yang ditawarkan kerajaan untuk mereka, sekaligus membantu meningkatkan pendapatan rakyat,” ujarnya.
Dr Zambry turut menarik perhatian peserta persidangan dengan membetulkan persepsi bahawa Ipoh kononnya dikenali sebagai bandar `Orang Pencen’ tetapi sebaliknya merupakan sebuah Bandaraya yang sedang pesat membangun, selain terkenal dengan tempat-tempat pelancongan.
“Jika anda berjalan dan meninjau sendiri di sekitar Ipoh, anda akan melihat bangunan-bangunan warisan selain hotel-hotel dan kafe-kafe moden yang menarik pelancong ke bandar ini,” kata beliau.