IPOH: Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menjelaskan bahawa Perak bukanlah negeri kedua termiskin selepas Kelantan, seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.
Pengarah Urusannya, Datuk Charon Mokhzani berkata, pihaknya juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau membuat kesimpulan sedemikian di dalam laporan mereka.
Malah, kata beliau, berdasarkan kepada purata pendapatan isi rumah, tidak adapun negeri yang miskin di negara ini.
Menurut beliau, berdasarkan laporan yang dibuat, memang ada rakyat miskin di negara ini iaitu purata pendapatan isirumah kurang RM940 di bandar dan RM870 di luar bandar sebulan.
“Tidak ada satupun negeri di Malaysia yang boleh dikatakan miskin kerana kemiskinan di Malaysia hampir tiada, walaupun memang ada yang masih miskin, tetapi hanya 0.6 peratus,” katanya pada sidang media di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Isnin.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Charon menjelaskan, laporan kononnya KRI ada mengatakan Perak negeri kedua termiskin adalah tidak tepat.
Sebaliknya, kata beliau, apa yang ditunjukkan di dalam laporan itu adalah pendapatan isi rumah mengikut negeri, misalnya 64.4 peratus keseluruhan isi rumah di Kuala Lumpur mempunyai pendapatan lebih RM6,000 sebulan.
Katanya, angka RM6,000 sebulan itu diambil berdasarkan purata pendapatan isi rumah kebangsaan ialah RM6,141.
Tambahan pula, kata beliau, laporan analisis yang dibuat oleh KRI itu adalah berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan tahun 2014 yang dikeluarkan tahun lalu.
Charon mengakui, sekiranya dilihat daripada beberapa indikator, menunjukkan Perak jauh lebih baik daripada beberapa negeri lain.
Beliau memberi contoh, capaian kepada perkhidmatan utiliti di Perak, seperti kemudahan elektrik, boleh dikatakan hampir mencapai 100 peratus.
Sementara itu, Mohammad Zahir berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak KRI mengenai perkara itu.
“Kita telah berbincang dengan cukup panjang lebar bersama-sama Menteri Besar dalam suasana yang cukup baik dan kita mengalu-alukan kesediaan KRI untuk berjumpa dan memberi penjelasan kepada kita,” ujar beliau.