IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyatakan komitmen penuh kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membawa pembangunan mampan kepada rakyat.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan memastikan peluang pembangunan yang dibawa itu benar-benar diyakini, telus dan membuka peluang pembangunan untuk rakyat.
“Ramai yang hadir hari ini menunjukkan kesungguhan untuk menangani isu-isu yang boleh menghalang kepada pembangunan mampan termasuk isu kemiskinan, ketidakseimbangan ekonomi, ketidakadilan sosial dan persekitaran,” katanya.
Dr Zambry berkata demikian dalam ucapan ‘statement of hope’ di Pangkor Dialogue di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh pada Isnin.
Katanya, isu itu perlu ditangani bagi mendapat perhatian di peringkat global dan kesamarataan peluang adalah sebahagian daripada hak asasi manusia.
“Saya percaya, setiap isu di dunia ini boleh diselesaikan sekiranya masyarakat ambil berat dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Institut Darul Ridzuan (IDR), Pihak Berkuasa Pelaburan Koridor Utara (NCIA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana menjayakan persidangan itu.