IPOH: Pembangunan paling bernilai dalam sesebuah negeri bukan terletak pada tinggi pencakar langit atau kebendaan semata-mata, tetapi diukur dari segi pembangunan menyeluruh rakyatnya.
Itulah antara pandangan Gabenor Wilayah Batangas di Filipina, Hermilando Mandanas mengenai pengertian sebenar sebuah pembangunan yang wajar dijadikan contoh bagi generasi masa depan.
Menurut beliau, ketercapaian teknologi dan infrastruktur lengkap di sesebuah bandar merupakan satu komponen utama dan pengukur kemajuan, namun itu bukanlah segala-galanya.
“Hanya melalui pembangunan minda, iaitu suntikan kesedaran untuk membantu meningkatkan status ekonomi negara sendiri, barulah kita mempunyai motivasi sendiri untuk berubah ke arah lebih baik.
“Apa gunanya bangunan setinggi langit, kadar kemasukan wang dalam negara berkelimpahan tetapi nilai hidup bermuafakat, kesedaran sivik dan inisiatif untuk menjadi manusia yang ingin membantu keluarganya, tiada langsung dalam diri kita,” katanya ketika menyampaikan “Statement of Hope” sempena Pangkor Dialogue 2016 pada Isnin.
Mengambil contoh tempat wilayah Batangas, Hermilando berkata, pembangunan sesebuah masyarakat itu hanya boleh diubah melalui pendidikan yang tinggi.
“Nasihat saya kepada semua, benar kekayaan dan kemajuan sesebuah tempat itu melambangkan kerjasama di antara kerajaan dan rakyatnya, namun ia adakalanya melupakan usaha berkomuniti, jangan leka dan teruskan menimba ilmu di buku atau di luar,” ujar beliau.