IPOH- Bandar raya Ipoh hari ini diisytiharkan sebagai bandaraya sosial bisnes yang kelima di dunia.
Pengisytiharan bandaraya Ipoh sebagai bandaraya sosial bisnes itu diumumkan dalam satu akur janji yang dibacakan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man pada Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru,Ipoh pada Isnin.
Empat bandaraya yang menerima pengiktirafan sama sebelum ini ialah di Jerman, Itali, Sepanyol dan Jepun.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry semasa bercakap dalam sidang media berkata, Ipoh adalah merupakan bandar raya kedua di Asia selepas Jepun dan yang pertama di Asean.
Katanya, idea bandar sosial bisnes itu adalah berkaitan peranan yang akan dimainkan oleh semua pihak, khususnya kalangan swasta, korporat dan kesemua yang ada di dalam sesebuah tempat itu bagi bersama bertanggungjawab mengendalikan atau menyelesaikan permasalahan.
“Idea ini dikemukakan bagi memastikan supaya setiap dari kita bertanggungjawab memastikan keadaan keselamatan, keamanan ataupun usaha untuk basmi sebarang masalah yang berkaitan dengan kemiskinan dan sebagainya dalam sesebuah tempat dalam konteks ini yang dibicarakan ialah soal bandar raya.
“Apa yang diperjelaskan Profesor Muhammad Yunus dalam dialog sebelumnya, kita ini kadangkala terlampau dikongkong oleh fahaman pemikiran ekonomi yang terlalu bersifat keuntungan sedangkan yang sebenarnya yang dibicarakan lebih bagaimana kita nak memastikan setiap dari kita berkeupayaan untuk menceburkan diri dalam bidang yang berkaitan untuk mencari sumber pendapatan bukan semata-mata keuntungan,” katanya.
Dr Zambry berkata perkara inilah yang ingin kerajaan negeri wujudkan di negeri Perak dan dalam kawasan bandar raya Ipoh.