IPOH: Kesedaran mengenai pentingnya keseimbangan sistem ekonomi yang menyeluruh perlu diberi keutamaan oleh kerajaan sesebuah negeri bagi menjamin kesejahteraan rakyat terus kekal berpanjangan.
Menurut Menteri Republik Guinea, Profesor Koutoub Moustapha Sano, jika perkara itu diberi perhatian sepenuhnya, maka tiada rakyat akan terpinggir dalam apa jua bidang termasuk kebajikan dan ekonomi.
Beliau berpendapat, bagi mencapai matlamat itu perlu ada pengimbangan di antara golongan kaya dan miskin.
“Jangan hanya fokus kepada sesuatu golongan sahaja, sebagai contoh jangan ada jurang yang terlalu ketara antara yang miskin dan kaya kerana bagi saya, itu satu petanda yang tidak baik.
“Mereka ini memerlukan tempat tinggal, pendidikan dan pekerjaan agar dapat meneruskan hidup yang lebih bermakna,” katanya ketika ditemui pada sesi Pangkor Dialouge “Building Resilience For Inclusive & Sustainable Future” di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.
Menurutnya, beliau memuji langkah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam menganjurkan dialog itu yang disifatkannya sebagai amat berguna untuk panduan dan penghasilan idea-idea positif.
“Menerusi dialog ini kita boleh cetus idea dan kenalpasti bagaimana untuk memastikan semua pihak bergabung tenaga dalam mewujudkan keseimbangan di antara masyarakat di bandar dan luar bandar dan soal keselamatan.
“Dengan adanya perbincangan sebegini, ia dapat membuat persiapan bagi menghadapi segala bentuk masalah yang timbul seperti isu kemiskinan dan bencana yang di luar kawalan,” katanya.