IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap Pangkor Dialogue akan menjadi suara rakyat.
Menurut beliau, kebelakangan ini pertumbuhan ekonomi serta pembangunan sesebuah negeri dan negara ditaktrifkan dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau GDP sahaja.
Sedangkan katanya, tahap pengukur kejayaan dan kemunduran sesebuah pusat berkomuniti seperti Perak tidak tertakhluk kepada satu definisi umum semata-mata.
“Kita harus berfikir secara kritis, sekiranya nilai kemajuan kita bergantung kepada golongan satu peratus yang lebih maju berbanding dengan peratusan selebihnya, adakah tujuan dan motif kita untuk bergelar golongan satu peratus ini semata-mata untuk menjana lebih banyak keuntungan bersama?
“Layakkah golongan satu peratus itu menempa kejayaan dan kemewahan tanpa menghakis hak kesamarataan bagi rakyat lain?,” soal beliau ketika menyampaikan ucapan Statement of Hope pada Isnin.
Dr Zambry berkata, perkara utama adalah samada golongan tersebut layak memporak-perandakan persekitaran yang harmoni hanya untuk harga sesuatu keuntungan.
Katanya, hari ini semua lapisan masyarakat sedang berhadapan dengan permasalahan mencabar ke arah membina sebuah masa depan dan persekitaran yang mampan.
Jelasnya, sebab utama bagi kesemua pemimpin untuk berjuang bagi keadilan hidup berkomuniti kerana harapan serta pembangunan adalah kunci penyelesaian masalah sosial bertaraf global
“Kita berjuang kerana hak kesamarataan adalah penentu kepada nilai maruah bangsa, dan kerana iman kita mengkehendakinya, malah rasional kita menginginkannya.
“Kita mengutarakan pendapat, berdebat, malah, bertukar pandangan dengan satu keyakinan bahawa satu lonjakan paradigman sudah tidak jauh daripada capaian kita pada hari ini,” ujar beliau.
Dr Zambry tidak menafikan bahawa proses penyelesaian masalah menuju ke pembangunan sosial lestari perlu melalui proses peralihan dan perubahan daripada titik selesa.
“Saya mewakili negeri ini sekali lagi pada hari ini menyatakan pendirian kami yang tetap untuk membawa peluang dan harapan kepada rakyat setempat di peringkat Persekutuan dan juga negeri Perak sendiri.
“Kami juga menyeru sebuah pembangunan berstruktur yang lebih berfokus kepada penerimaan lebih terbuka, kebergantungan serta ketelusan dalam mana-mana urusan melibatkan rakyat dan golongan semuanya,” katanya.