IPOH: Penasihat Jawatankuasa Koordinasi Sekretariat Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Profesor Dr Richard Ng menyifatkan laporan Institut Pendidikan Khazanah (KRI) yang meletakkan Perak sebagai negeri kedua termiskin selepas Kelantan sebagai berat sebelah dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.
Beliau berpendapat laporan yang diumumkan KRI tidak lama dulu sehingga mencetuskan kontroversi itu telah memberikan impak yang negatif serta pada masa sama dilihat tidak adil kepada rakyat negeri Perak.
Bagi memperbetulkan perspektif sebenar, beliau mencadangkan agar KRI, yang juga cabang Khazanah Nasional (agensi dibawah Kementerian Kewangan) duduk semeja dengan agensi-aagensi kerajaan negeri Perak bagi tujuan memperbetulkan semula laporannya.
``Saya sendiri menganggap laporan KRI itu tidak benar dan tidak adil kepada rakyat dan negeri Perak.
``Memang kita perlu tengok metodologinya, kita perlu kaji apa faktor yang mereka gunakan dalam kaji selidik supaya ia menjadi lebih adil kepada negeri Perak,’’ katanya yang juga Pengarah IPD-OUM kepada Suara Perak.
Beliau ditemui selepas sesi Konvensyen NGO sempena Pangkor International Development Dialogue di Casuarina @ Meru Hotel, Meru pada Ahad.
Menurut Dr Richard, KRI perlu segera mengkaji semula laporan itu kerana kaji selidik yang mereka buat tidak melibatkan agensi kerajaan.
``Jadi mereka buat satu kaji selidik cara mereka sendiri jadi apa kaedah yang mereka guna kita tidak tahu pada hal di Perak kita ada IDR , think tank kita yang jalan kaji selidik tapi kita dapati hasil kaji selidik itu tak sama, jadi tentu ada perbezaan itu yang menjadi tanda tanya,’’ katanya .
Pada sesi dialog itu beliau turut menyentuh soal banyak maklumat tentang dasar kerajaan yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat tetapi mesejnya tidak sampai kepada rakyat.
``Jadi kita perlu NGO untuk memberi dan menyalurkan maklumat yang tepat dan cepat kepada rakyat,’’ katanya.