IPOH: Penganjuran Pangkor International Development Dialogue (PIDD 2016) kali ini diberikan nafas baru apabila menghimpunkan para belia di dalam satu segmen Sehati@Pangkor Dialogue 2016.
Program PIDD 2016 yang berlangsung dari 5-7 September ini turut membariskan para peserta dari dalam dan luar negara dalam membincangkan topik seperti ekonomi, teknologi dan pendidikan.
Rata-rata para peserta kalangan belia ketika ditemui berkata, program sebegini memberi manfaat khususnya topik yang dibincangkan ada kaitan dengan kehidupan seharian.
Muhammad Nur Safwan Mohd Saleh, 19 dari Kolej Komuniti Tapah berpendapat topik tentang 'social entrepreneur' cukup menarik bagi membuka mata anak-anak muda untuk merebut peluang sedia ada.
"Kami semua didedahkan dengan topik bisnes online, bagi saya ia memang menarik sebab zaman sekarang masyarakat lebih dekat dengan bisnes berasaskan online.
"Tak kurang juga belia yang manfaatkan peluang ini untuk jana pendapatan, kebaikannya adalah kita boleh bermula di mana-mana sahaja," katanya di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.
Bagi Nurizyan Farhanah Teruna, 19, dari Tanjung Tualang, PIDD kali ini membuka ruang buat dirinya untuk saling bertukar pendapat bersama peserta lain.
"Kami dapat mendekatkan diri kami.. Untuk sama berjumpa dan berkumpul. Kita golongan belia dapat sama kembangkan bisnes. Speaker yang datang juga beri tunjuk ajar dan maklumat untuk bentuk kami berniaga.
"Tidak kira di mana- mana, tujuannya boleh tambah ilmu kami... Memang seronok," kata Nurizyan.
Nurul Farah Ain Ahmad,19 dari Ipoh turut memberi reaksi positif terhadap segmen berkenaan.
"Dapat ilmu, dapat kawan baru dan boleh buat kita berfikir luar dari kotak. Saya datang dengan kawan-kawan dan rasanya berbaloi dapat belajar benda baru hari ini," kata Nurul Farah.
Antara yang terlibat dalam segmen Sehati@Pangkor termasuk Malaysian Global Innovation&Creativity Centre (MaGIC) selain menampilkan pembahas Azam Hisham (Biji Biji), Amy Blair (Batik Boutique) dan Majidah Hashim (Seventea one).