Pemahaman Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam hal sistem perundangan dipersoalkan berikutan tindakan pemimpin pembangkang itu menuduh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengamalkan sikap pilih kasih mengenai isu “Malaysian Official 1” yang disebut dalam Laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kit Siang tidak faham mengapa Khalid tidak boleh campur tangan seperti yang disarankan.
Katanya antara perkara pokok yang menyebabkan Khalid tidak boleh bertindak adalah kerana proses itu bukan dibawah bidang kuasa Malaysia untuk menyiasat tindakan sivil oleh DOJ tersebut kerana ia adalah berkaitan pengubahan wang haram yang berlaku di Amerika Syarikat.
“Kalau berlaku di Malaysia mana boleh polis Amerika datang buat siasatan di sini, sama juga kalau berlaku di Amerika, mana boleh Ketua Polis kita datang ke sana untuk jalankan siasatan. “Ketua Polis kita juga mana boleh nak siasat individu yang langsung tidak dinamakan secara jelas dalam kes tersebut. Saya rasa Kit Siang keliru dan tak faham,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Parit di Seri Iskandar pada Ahad. Tambah beliau tindakan diambil DOJ juga merupakan tindakan sivil dan bukan jenayah yang memerlukan polis untuk campur tangan. Katanya lagi, fokus seharusnya diberi kepada empat individu yang dinamakan secara jelas dalam tindakan sivil DOJ tersebut dan bukan MO1. “Empat nama individu yang disebut itu sepatutnya menjadi tumpuan sama ada nak siasat atau tidak, jangan heret orang lain yang tidak dinamakan dalam kes ini,” ujarnya.