PARIT: Aktiviti kenduri Komuniti 1 Malaysia (K1M) merupakan antara agen penyatuan masyarakat terbaik, khususnya dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, masyarakat harus menyedari bahawa perkembangan teknologi hari ini telah menyebabkan aktiviti berkonsepkan musyawarah itu semakin berkurangan.
Katanya, kenduri, meskipun ringkas pada dasarnya, namun ia merupakan salah satu platform capaian maklumat melalui info satu komuniti secara lebih luas.
"Kenduri, gotong-royong dan mana-mana aktiviti melibatkan penduduk dalam satu kumpulan berkomuniti, bertindak sebagai pengerat hubungan antara setiap lapisan masyarakat, baik dari kanak-kanak sehingga ke peringkat dewasa. "Selain itu, ianya juga dapat menyuntik pelbagai sifat kendiri dan nilai moral seperti semangat bermuafakat, saling membantu dan hormat menghormati malah hidup secara harmoni," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Suara Perak selepas merasmikan Kenduri Komuniti 1 Malaysia yang melibatkan enam buah kampung di Parit termasuk Kg Layang Tiga, Bota Kiri, Padang Changkat, Mukim Lambor, Tanjung Belanja dan Tumbuh Hangat pada Sabtu yang dihadiri lebih 500 orang.
Drs Nizar berkata, ramai juga tidak menyedari, di sebalik kemeriahan sesuatu program kenduri itu, tersirat pelbagai manfaat terutamanya dalam membina negara bangsa yang berpendirian tetap.
"Contohnya hari ini, kita kembali ke zaman permainan tradisi seperti musang berjanggut, bowling kelapa, sepak raga selain pertandingan mewarna kanak-kanak.
"Ungkapan emas kita, "bersatu teguh, bercerai roboh" harus menjadi landasan dalam institusi berkomuniti agar kita masih menghargai tradisi namun bersepakat dalam keputusan di peringkat kampung masing-masing,"katanya lagi.
Selain itu, Drs Nizar berpendapat, kenduri K1M merupakan platform kepada aspek penekanan budaya setempat yang diterapkan dalam aktiviti-aktiviti sempena program tersebut.
"Antara lain adalah pembabitan agensi keselamatan seperti demonstrasi memadam kebakaran oleh PAM yang merupakan pendidikan untuk mengelakkan sebarang kes kecemasan dan bersedia untuk tindakan awal," ujarnya.