Bajet 2017 yang akan dibentang Perdana Menteri Oktober ini akan bakal menyaksikan kerajaan memberikan tumpuan melaksanakan keperluan mendesak penduduk luar bandar terutama di kampung-kampung.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memilih untuk memastikan wang negara dibelanjakan bagi projek yang memberi impak secara terus kepada penduduk luar bandar berbanding projek-projek besar.
"Dalam Bajet 2017 kita tidak mahu tekankan pembangunan projek besar tetapi akan melaksanakan projek yang memberi kesan langsung kepada penduduk kampung seperti pembaikan atap dan rumah yang roboh atau tadika-tadika.
"Selain itu, kita juga mahu menambah lampu di kampung-kampung termasuk lampu jalan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya serta masalah sosial seperti penagihan dadah," katanya selepas merasmikan persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Seri Iskandar pada Ahad.
Menurut beliau, pihaknya kini sedang dalam perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menyediakan bajet pembangunan kementeriannya menjurus ke arah pendekatan berkenaan.
Katanya projek yang memberi impak secara terus dan mengambil hati golongan kampung serta luar bandar itu penting bagi menghargai sokongan mereka terhadap kerajaan selama ini.
"Projek-projek mendesak begitu memang tak besar tetapi ianya akan menyentuh hati rakyat, itu lebih penting.
"Kita kena ingat, penduduk kampung dan luar bandar iniah yang merupakan penyokong kuat kerajaan serta UMNO pada Pilihan Raya Umum lalu," jelasnya.
Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, tahun lalu, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan kepada kementerianya dan daripada jumlah itu, RM10 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala baki RM5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Ismail Sabri mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan semalam yang akan berusaha mencari dana tambahan untuk Bajet 2017 bagi melaksanakan lebih banyak pembangunan bagi kawasan luar bandar dan mengurangkan beban masyarakat kampung.