top of page
muinsapidin

Rancang Wartakan Jambatan Victoria Sebagai Warisan Kebangsaan

KUALA KANGSAR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sedang berusaha untuk menjadikan Jambatan Victoria di sini yang berusia 119 tahun sebagai Warisan Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz berkata, ia bagi memastikan jambatan yang dibina pada tahun 1897 itu dapat dipelihara dan dipulihara secara baik oleh kerajaan.

Menurut beliau, jambatan itu sebenarnya merupakan warisan negara di mana segala perancangan pembinaannya dibuat di London, termasuk bahan-bahan binaan juga turut dibawa dari tempat yang sama.

“Sekiranya diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan, dia akan tertakluk kepada sesuatu perkara tertentu yang membolehkan kita memelihara dan memulihara jambatan bersejarah itu.

“Ianya perlu dilakukan bagi memastikan jambatan berusia tiga dekad ini terus dipelihara, termasuk infrastruktur di sekelilingnya, kita tidak mahu ia dirosakkan atau sebagainya” katanya selepas merasmikan Perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Padang Rengas – Bukit Mertajam dekat Padang Rengas pada Sabtu.

Nazri memberitahu, sekiranya jambatan itu diwartakan sebagai warisan negara, ia akan mendapat kelebihan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur tambahan.

“Dari segi tarikkan pelancong, itu memang sudah ada, kerana ramai sebenarnya yang datang untuk melihat jambatan ini termasuk pelancong-pelancong asing.

“Disebabkan faktor tarikan pelancong itu telah pun ada, mungkin sekiranya perlu kita akan bina chalet di tepi sungai berkenaan bagi membolehkan pelancong-pelancong menikmati keunikan jambatan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon Perbadanan Aset Keretapi Malaysia (PAKM) untuk tidak mengenakan caj sekiranya pihak kementeriannya mahu mengadakan program promosi di jambatan berkenaan.

“Kita minta jasa baik Pengerusi PAKM untuk tidak kenakan caj kepada kita kerana sekarang ini kita buat program-program promosi dikenakan caj, bukan satu program sahaja kita buat tetapi banyak.

“Tetapi kalau sektor swasta yang nak buat program di sana tak apalah kalau PAKM nak caj,” katanya.


6 views0 comments
bottom of page