top of page
muinsapidin

Pusat Khidmat Adun Manong Adakan Gotong-Royong Perangi  Zika

KUALA KANGSAR: Pusat Khidmat Adun Manong dalam kawasan Parlimen Kuala Kangsar mengambil langkah proaktif memerangi wabak Zika dan denggi menerusi Program Gotong-Royong yang diadakan di kawasan tarikan pelancong Kolam Air Panas Ara Panjang, Manong pada Sabtu.

Program yang kali pertama diadakan itu dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan kolej komuniti tempatan diketuai oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid bersama Adun Manong, Mohamad Kamil Shafie.

Menurut Mastura, program gotong-royong itu diadakan bertepatan pada masanya kerana selain membersih dan mencantikkan kawasan Kolam Air Panas Ara Panjang, ia juga dapat menghindar pembiakan nyamuk yang membawa wabak denggi dan terkini Zika.

``Saya melihat program sebegini amat baik kerana ia memperlihatkan komitmen pemimpin dan komuniti setempat, termasuk penuntut pengajian tinggi dalam membantu membersihkan kawasan pelancongan kolam air panas Ara Panjang yang rosak akibat banjir baru-baru ini.

``Selain membersih dan mencantikkan semula kawasan itu ia juga dapat menghindar pembiakan nyamuk pembawa penyakit Zika dan kita berdoa kepada Allah supaya wabak Zika tidak berlaku di negeri Perak,’’ katanya.

Menurut Mastura, adalah menjadi tanggungjawab setiap warga Kuala Kangsar untuk menjaga dan memastikan kawasan rumah dan kediaman mereka sentiasa bersih bagi membendung penularan penyakit seperti denggi dan Zika.

``Mereka bukan sahaja perlu memastikan rumah mereka bersih malah mesti menganggap bahawa Kuala Kangsar ini adalah kediaman mereka,’’ katanya.

Beliau yakin dan percaya jika semangat dan sikap itu ada pada setiap warga Kuala Kangsar dan dibantu oleh pihak MPKK, Bandar Diraja tersebut akan menjadi kawasan bersih dan lebih dikenali sebagai kawasan pelancongan di Perak.

Sementara itu, seorang peserta program dari USAS, Nazirul Auri, 21, menyifatkan program itu sebagai amat baik kerana ia dapat membantu mencegah menularnya wabak Zika dan denggi selain membersihkan semula kolam air panas Ara Panjang yang rosak.

`` Saya menganggap program sebegini sebagai amat baik kerana ia dapat memberi kesedaran tentang pentingnya kita menjaga kebersihan sesebuah kawasan yang menjadi tumpuan pelancong seperti kolam air panas Ara Panjang ini,’’ katanya.


57 views0 comments
bottom of page