KUALA KANGSAR: Perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan baharu Padang Rengas – Bukit Mertajam akan memberi pelbagai impak positif kepada rakyat Perak di sebelah utara.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz berkata, laluan itu akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi, pelancongan serta aktiviti sosial di Kuala Kangsar, Padang Rengas, Taiping, Kamunting, Bagan Serai dan Parit Buntar.
Menurut beliau, dengan 22 perkhidmatan sehari dari Padang Rengas ke Bukit Mertajam, perhubungan dari satu destinasi ke satu destinasi menjadi lebih dekat, jimat selamat dan mudah.
“Saya beri contoh dari segi ekonomi, ianya akan membolehkan penduduk-penduduk luar bandar kini bekerja di kawasan bandar, tanpa perlu memikirkan soal kos sewa rumah atau perjalanan,” katanya selepas merasmikan Perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Padang Rengas – Bukit Mertajam dekat sini pada Sabtu.
Bagi aspek pelancongan pula, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, laluan baharu itu akan menarik ramai pelancong untuk melawat kawasan-kawasan utara Perak termasuk Padang Rengas.
“Kelebihanya laluan baharu ini adalah stesen-stesennya terletak di lokasi yang strategik yang membolehkan orang ramai mengunjungi lokasi pelancongan yang menarik seperti di Taiping dan sebagainya.
“Mereka boleh membuat lawatan secara singgah dari satu tempat ke satu tempat sehingga lah ke destinasi sebenar yang ditujui, ianya sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat juga,” ujarnya.
Justeru itu, beliau memberitahu rakyat khususnya di negeri ini seharusnya mengambil peluang dan menyokong usaha kerajaan untuk merakyatkan KTM.
“Kos perjalanan menggunakan KTM ini amat berpatutan, bayangkan dari Padang Rengas ke Taiping hanya RM2.20 sahaja, jadi rakyat perlu memberi sokongan dan gunakan KTM sekiranya mahu bergerak ke lokasi-lokasi dalam negeri,” ujarnya.
Laluan baharu KTM itu menawarkan tambang serendah RM1 bagi perjalanan Taiping ke Kamunting dan maksimum RM 17.20 daripada Padang Rengas ke Padang Besar.
Jumlah perkhidmatan yang disediakan adalah sebanyak 22 perkhidmatan pergi dan balik setiap hari bermula jam 5.30 pagi hingga 8 malam.