KUALA KANGSAR: Kolam Air Panas Ara Panjang, Manong yang rosak akibat bencana banjir baru-baru ini akan dikomersialkan untuk menjadikannya sebagai kawasan tarikan pelancong terkenal di Kuala Kangsar.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohamad Kamil Shafie, kolam air panas itu mempunyai kelebihan tersendiri berbanding kolam-kolam air panas yang terdapat di negara ini kerana mempunyai banyak mata air dan suhu kepanasan yang tinggi.
Katanya, proses pemulihan dan menaik taraf kolam itu akan dijalankan tidak lama lagi termasuk memagar, mencantikkan tepian kolam dan kemudahan infra kepada pelawat dan pengunjung luar.
Mohamad Kamil berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid akan membawa cadangkan itu dalam sidang jawatankuasa tindakan daerah dan juga mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah Kuala Kangsar.
``Kami telah berbincang dengan pihak Exco Pelancongan negeri bagaimana usaha untuk mengkomersialkan kawasan ini dan yang paling baik sekali kita ada menerima jemputan daripada pihak Universiti Sultan Azlan Shah untuk bekerjasama dengan majlis perbandaran dan jawatankuasa kemajuan kampung bagi menjadikan tempat ini lebih komersial dan menarik pada masa akan datang,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program gotong-royong perdana kuala kangsar anjuran Pusat Khidmat ADUN Manong di kolam air panas Ara Panjang pada Sabtu yang turut dihadiri Mastura.
Menurut beliau, orang ramai yang berkunjung di kolam air panas Ara Panjang bukan sahaja berpeluang berkemah di kawasan tersebut sambil merasai kepanasan airnya malah menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan berkenaan.