KAMPAR: Seramai 40 pelajar dari masyarakat Orang Asli berdepan dengan detik cemas apabila bas sekolah yang mereka naiki terbabas dan terbalik di persimpangan Kg Jelintoh Ulu Pili, dekat Gopeng pada petang Jumaat.
Dalam kejadian sekitar 1 petang, 25 pelajar pelajar SK Taman Gopeng Baru yang berada di dalam bas berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan, manakala baki 15 pelajar sekolah menengah tidak mengalami sebarang kecerderaan..
Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata, ketika kejadian, bas yang membawa pelajar berumur antara 7 dan 15 tahun itu sedang dalam perjalanan balik dari sesi persekolahan.
"Berdasarkan laporan diterima, insiden berlaku apabila bas tersebut cuba untuk mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
"Berikutan itu, bas tersebut telah menggelongsor dan terbabas ke bahu jalan, menyebabkannya terbalik," katanya kepada Suara Perak.
Kong Soon berkata, kesemua pelajar yang mengalami kecederaan ringan dan berada di dalam bas tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan Lawan Kuda Gopeng.
Tambahnya, penumpang bas sekolah itu terdiri daripada 15 orang lelaki dan 25 orang perempuan.
"Kesemua mereka sudah pulang ke rumah masing-masing setelah mendapatkan rawatan awal di klinik terdekat," ujarnya lagi.