IPOH: Atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong yang mengharumkan nama negara dalam sukan Olimpik Rio 2016 baru-baru ini menerima hadiah penghargaan sebuah pangsapuri mewah bernilai RM320,000 sebagai pengiktirafan kepada kejayaannya memenangi pingat perak dalam sukan berprestij itu.
Penghargaan istimewa daripada kerajaan negeri Perak kepada anak tempatan itu merupakan hadiah khas setelah mewakili negara dalam acara 10 meter platform seirama wanita bersama pasangan terjunnya, Pandalela Rinong.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu insentif khusus daripada Skim Kemenangan Atlit Negeri, selain sumbangan wang tunai RM15,000.
"Kami telah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat yang lepas dan sepakat untuk menghadiahkan sebuah lot kediaman pangsapuri untuk Jun Hoong atas pencapaian beliau yang begitu membanggakan.
"Usaha itu dilakukan sebulat hati oleh Menteri Besar sendiri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan kami berharap ianya akan terus memberikan semangat kepada Jun Hoong yang telah berhempas pulas mewakili seluruh rakyat Malaysia di Rio," katanya kepada pemberita dalam sidang media Majlis Penyerahan Insentif kepada atlet berkenaan, di Bilik Mesyuarat Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Shahrul Zaman berkata, kediaman yang dinaungi oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak di Meru itu dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi dan Jun Hoong bebas memilih mana-mana unit.
Katanya, beliau telah berbincang dengan atlit wanita tersebut untuk menjadikannya ikon sukan di Perak sekaligus merangka pelbagai aktiviti yang melibatkan program motivasi di seluruh negeri, khususnya melibatkan bidang kesukanan dan advokasi di sekolah-sekolah terpilih seluruh negeri Perak.
"Secara langsung, Jun Hoong adalah inspirasi kepada atlet dari seluruh Perak dan mereka perlu menyedari hakikatnya, jika Jun Hoong yang merupakan anak jati Perak mampu melakukannya maka mereka yang pun boleh menempa kejayaan di peringkat usia," ujarnya.
Tidak ingin para atlit berbakat berputus asa, Jun Hoong ketika ditanya mengenai tohmahan dan cercaan di laman sosial dan sebagainya berkata, ianya merupakan asam garam menjadi atlit negara dan tidak melatah atas perbuatan itu.
"Memang ada yang bertindak memberi komen negatif tetapi bagi saya setiap orang mempunyai pandangan dan persektif berbeza jadi saya tidaklah begitu kisah, cuma mereka ada yang tak faham perjalanan hidup kami di sebalik setiap kemenangan ini.
"Perjuangan dan pengorbanan masa kami sejak berbelas tahun lamanya, sebagai contoh saya telah berkecimpung dalam bidang ini dalam 17 tahun dan disebabkan mewakili negara, saya akan memberikan yang terabit untuk membawa nama negara.
"Secara peribadi, baik mereka yang menang atau tidak berpeluang menaiki podium adalah yang terhebat kerana kesemua mereka yang melayakkan diri ke Olimpik dikira sebagai "the best of the best," katanya lagi.
Tambah Jun Hoong, pemberian kediaman itu merupakan satu pendorong semangat buat dirinya untuk memberikan lebih baik di masa hadapan dan akan terus menyokong sebarang aktiviti melibatkan kesukanan, khususnya kepada bakat-bakat baru.
Menurutnya, komen negatif di laman sosial adalah hak mereka masing-masing namun janganlah memandang kesemua atlit negara yang membawa harapan negara di bahagian permukaan sahaja.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon dan ahli keluarga Jun Hoong.